
PUTRAJAYA – Semua pihak tertakluk kepada peraturan serta peruntukan undang-undang negara tanpa pengecualian, termasuk bagi kesalahan yang dilakukan di ruang maya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata, sebarang tindakan terhadap pihak yang melanggar undang-undang sedia ada bergantung kepada justifikasi yang digunakan oleh agensi penguat kuasa.
“Bagi saya, ada juga elemen bagi seseorang perlu bertanggungjawab terhadap apa yang dikatakan. Jika anda secara berdepan mengatakan sesuatu kepada saya, saya boleh mengambil tindakan sivil atau jenayah terhadap anda.
“Namun, mengapakah penggunaan media sosial dianggap sebagai suatu ruang atau premis berlainan sifatnya? Terpulang kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil untuk memberikan pencerahan berhubung perkara itu kerana saya tidak mempunyai maklumat mengenai insiden berkenaan,” katanya lapor BH.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Ruang Pejabat Bahagian Pembelaan Awam, pelancaran Kembara Justice on Wheels (JoW) serta pentauliahan pegawai pengantara Jabatan Bantuan Guaman, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Azalina turut merujuk kepada gesaan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) agar kerajaan menilai semula keperluan menahan seorang pengguna TikTok yang didakwa memuat naik video mengandungi kenyataan terhadap Perdana Menteri.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan beberapa hari lalu, Suhakam turut meminta kerajaan menilai semula kes-kes seumpama itu yang melibatkan aktiviti menyuarakan pandangan tanpa unsur keganasan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan Kembara JoW adalah bertepatan dengan keperluan semasa kerana mampu memperkukuh akses rakyat kepada keadilan berteraskan prinsip ihsan dalam kerangka Malaysia MADANI.
Katanya, inisiatif berkenaan bertujuan membantu Jabatan Bantuan Guaman di peringkat negeri memperluas perkhidmatan secara langsung kepada masyarakat, khususnya komuniti luar bandar, pedalaman serta golongan berpendapatan rendah.
“Yang lebih penting ialah ‘akses untuk keadilan’ sangat-sangat diletakkan sebagai salah satu daripada elemen Kerajaan MADANI iaitu ihsan,” katanya.
Kembara JoW merupakan perkhidmatan bantuan guaman menggunakan van yang diilhamkan oleh Azalina bagi memudahkan masyarakat yang tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan Jabatan Bantuan Guaman tanpa perlu ke bandar besar atau ibu negeri.
Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk nasihat guaman percuma, permohonan bantuan guaman serta program pendidikan dan kesedaran undang-undang.
Beliau berkata, pelaksanaan JoW boleh diperluas mengikut kesesuaian termasuk beroperasi di luar waktu pejabat atau pada hari cuti, selain diperluas ke peringkat daerah dengan penglibatan wakil rakyat.
Katanya, pelancaran 11 van baharu Kembara JoW diyakini mampu memperluas liputan program itu secara lebih berkesan ke seluruh negara, selaras aspirasi kerajaan MADANI untuk membina sistem keadilan yang inklusif, responsif dan berteraskan rakyat.
“Saya kalau boleh nak minta mereka gerak di semua kawasan Parlimen sebagai permulaan.Tak kisahlah parlimen pembangkang ke parlimen kerajaan, yang penting kita beri khidmat guaman,” katanya.




