
PUTRAJAYA – Terdapat keperluan buat Malaysia mewujudkan undang-undang keselamatan negara yang khusus agar doktrin ketaksuban pelampau dapat dibanteras dalam kalangan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, undang-undang itu bertujuan bukanlah menyekat kebebasan bersuara, namun bagi mencegah sebarang sentimen keganasan disebarkan secara berleluasa.
“Sebab itu saya rasa, kalau ada keperluan tentang akta keselamatan negara yang menjurus khusus kepada usaha menjamin keselamatan dalam negeri daripada unsur-unsur dan pengaruh luar.
“Saya serah kebijaksanaan polis dan tentera serta agensi penguatkuasaaan lain. Jika ada eleman yang perlu dimasukkan, belum cukup kuat dalam undang-undang negara,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Tindakan Malaysia Bagi Mencegah Dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (MyPCVE) di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan timbalannya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
MyPCVE dilaksana bagi memenuhi saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mencadangkan agar semua negara anggota mempunyai pelan tindakan sendiri bagi mencegah dan mennangani fahaman pelampau keganasan.
Pelan itu mengandungi empat teras utama iaitu, pencegahan, penguatkuasaan, pemulihan dan pengukuhan yang menggariskan inisiatif untuk dilaksanakan oleh pelbagai pihak.
Dalam pada itu, Anwar berkata, penguatkuasaan undang-undang sedemikian tentunya akan disergah atau ditentang oleh sesetengah pihak, namun keutamaan kerajaan pada waktu ini adalah soal keselamatan rakyat dan negara.
“Kita akan pertahankan sebab kita mahu negara ini lebih matang sebagai satu demokrasi, satu hal yang tak boleh kita terima adalah mengizinkan negara menjadi medan dan gelanggang bagi puak pelampau.
“Kita dengan Hamas pun kita bezakan dengan kerjasama politik dengan cara memberi dokongan kepada mereka sebagai sebuah negara kecil membangun, menjalin hubungan antarabangsa. Kita cuba tidak terlibat dalam mana-mana perseteruan melibatkan senjata,” katanya.




