PUTRAJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO akan terus setia bersama rakan komponennya dalam Barisan Nasional (BN) iaitu MCA, MIC dan Friends of BN dalam apa jua keadaan.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN meminta parti komponen tidak mengambil langkah terburu-buru termasuk mengugut untuk meninggalkan gabungan ketika berdepan cabaran politik semasa.
“Saya beritahu rakan-rakan (komponen) ketika ini mereka susah, MIC hanya satu kerusi, MCA hanya dua kerusi dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) satu kerusi di Sabah.
“Kita (UMNO) pun susah juga… kita hanya 26 kerusi, dulu 64 dan sebelum itu lebih seratus.
“Dalam sama susah ini UMNO tidak akan meninggalkan MCA atau MIC atau PBRS atau rakan Friends of BN.
“Ini cara kita, jangan masa susah nak ugut keluar,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Selayang di Sungai Buloh, malam tadi.
Pada sidang media selepas mesyuarat itu, Ahmad Zahid menafikan dakwaan bahawa parti komponen BN seperti MCA dipinggirkan dalam agihan kerusi, termasuk kerusi majoriti Melayu.
Sebaliknya, beliau berkata, MCA dan MIC diberi kepercayaan untuk bertanding di kerusi-kerusi tradisi Melayu.
“Di mana kerusi majoriti Melayu kita tidak bagi kepada MCA? Tanjung Piai bukan kerusi Melayu? Ataupun di Ayer Hitam bukan kerusi Melayu? Semua kerusi Melayu yang kita beri kepada MCA, ertinya kita menghormati.
“MCA adalah rakan komponen BN yang taat dan setia daripada dahulu, pegangan itulah yang kita akan kekalkan.
“Begitu juga kerusi kepada MIC, semuanya kerusi Melayu yang kita berikan kepercayaan kepada mereka untuk bertanding,” katanya lagi seperti dilapor Bernama.
Media sebelum ini melaporkan bekas Naib Presiden MCA, Datuk Ti Lian Ker menggesa parti itu tidak dipinggirkan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), sebaliknya perlu diberikan kerusi sesuai – untuk membuktikan kerelevanannya – termasuk kerusi kawasan majoriti Melayu.








