
PUTRAJAYA – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 ditangguhkan ke hujung November bagi membolehkan parti itu membuat persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam tadi menetapkan tarikh baru PAU 2025 pada 26 hingga 29 November.
“Tarikh PAU 2025 dipersetujui untuk ditunda kepada 26 hingga 29 November 2025, mengambil kira persiapan menghadapi PRN Sabah,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat berkenaan di Kuala Lumpur, lewat malam tadi.
UMNO dijadual mengadakan PAU 2025 pada 20 hingga 23 Ogos ini.
Penangguhan itu memberi isyarat PRN Sabah semakin dekat, memandangkan tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri berkenaan tamat pada 11 November.
Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi berkata, UMNO akan melaksanakan kajian separuh penggal bagi menilai keberkesanan dan prestasi Kerajaan Perpaduan.
“(Ia) termasuklah pencapaian kepimpinan UMNO dalam anggota pentadbiran, agensi-agensi milik dan berkaitan kerajaan,” jelasnya.





