
KOTA TINGGI – UMNO dan BN menyasarkan untuk menang lebih 60 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sasaran itu tidak mustahil walaupun pada PRU15 UMNO hanya menang 26 kerusi manakala selebihnya dimenangi parti komponen BN.
“Tidak mustahil dalam politik daripada menang menjadi kalah, kalah menjadi menjadi menang.
“UMNO perlu menjadi parti dominan dan kita harap pada PRU16 nanti UMNO dan BN dapat menang 60 atau lebih kerusi Parlimen,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang kali ke-21 Tahun 2024 di Lotus Desaru Beach Resort, Bandar Penawar di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengerang serta timbalannya, Aznan Tamin.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, walaupun UMNO dan BN selepas PRU15 hanya tinggal 30 kerusi Parlimen tetapi tetap memainkan peranan penting dalam lanskap politik negara apabila bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan.
Beliau mendakwa, UMNO menyelamatkan keadaan apabila 30 kerusi BN dan 82 kerusi milik PH bergabung membentuk majoriti mudah menubuhkan kerajaan.
Sementara itu, Azalina berkata, UMNO perlu menjadi parti yang kembali dominan selepas ini dan mendapat tempat lebih baik pada PRU16.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, UMNO masih lagi berkuasa ketika ini walaupun dalam keadaan yang mencabar apabila cuba dipecah belah dari dalam serta digertak dan diugut dari luar.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid dilaporkan berkata, jumlah kerusi sasaran untuk UMNO hanya akan diumumkan menjelang PRU16 yang berbaki kira-kira tiga tahun lagi.








