
KOTA KINABALU – UMNO Sabah sentiasa menerima semula bekas ahli yang digantung atau mana-mana pimpinan yang berhasrat untuk kembali, namun hasrat itu hanya boleh direalisasikan sekiranya terdapat permohonan rasmi.
Pengerusinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, perkara tersebut tidak akan menjadi realiti sekiranya satu pihak sahaja, justeru ianya memerlukan sokongan dan permohonan daripada bekas ahli.
“Ahli yang digantung perlu ada permohonan yang mengatakan hasrat untuk kembali dan barulah kita akan proses, itulah prosedur.
“Kita ada satu jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menentukan kemasukan semula yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, jadi dia yang akan memutuskan,” ujarnya kepada media semasa Majlis Berbuka Puasa Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, di Bangunan UMNO, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Jafry berkata, dasar tersebut telah diputuskan oleh pucuk pimpinan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lalu.
“UMNO Sabah tidak terkecuali juga bersetuju dengan dasar ‘Rumah Bangsa’ atau membuka pintu kembali kepada ahlinya.
“Secara jujurnya kami di UMNO Sabah memang terbuka cuma kena ada permohonan yang rasanya kita tidak ada masalah untuk menerima semula, yang penting mereka berhasrat untuk kembali dan rujuk balik sebagai penyokong parti UMNO dan BN.
“Di Sabah, UMNO sebahagian daripada kerajaan dan suasana politiknya adalah stabil, tidak ada pergaduhan dan sebagainya,” katanya.
Mengulas lanjut, ketika ditanya sama ada perkara ini sebagai satu pendekatan untuk mengekalkan kerusi UMNO menjelang pilihanraya akan datang, beliau berkata, sebenarnya bukan begitu.
“Yang pasti kita membuka ruang kepada mereka-mereka yang berminat, tidak semestinya YB sekarang.
“Mungkin ada yang sebahagian rakan-rakan terpinggir yang terdahulu dan kepemimpinan UMNO Sabah yang baharu terbuka untuk mereka ingin dan ingin berjuang bersama-sama dibawah payung panji-panji UMNO dan BN,” jelasnya.





