
KOTA KINABALU – UMNO Sabah menegaskan tidak akan memilih atau menyokong mana-mana pemimpin yang mengkhianati parti untuk bertanding atas tiket UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Ketua UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin berkata, susulan isu keahlian UMNO Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya yang dilaporkan masih aktif meskipun telah digantung selama enam tahun sejak 2023.
Jelasnya, kesetiaan dan keikhlasan dalam perjuangan adalah asas utama UMNO dan mereka yang gagal mematuhi prinsip tersebut tidak akan diterima pada pilihan raya yang akan datang.
“Setiap ahli UMNO harus sedar bahawa keahlian dalam parti ini datang dengan tanggungjawab dan disiplin. Setia kepada perjuangan UMNO bermakna harus mematuhi dasar dan keputusan parti.
“Apabila seseorang mengkhianati mandat yang diberikan oleh parti, ia adalah satu pelanggaran serius yang tidak boleh dipandang ringan.
“Justeru, saya berpandangan bahawa Majlis Tertinggi UMNO perlu bertegas dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti.
“Sekiranya ada pihak yang hanya mahu menyemak keahlian semata-mata kerana ingin bertanding dalam pilihan raya, maka UMNO harus bertegas bahawa parti ini tidak memerlukan pemimpin yang tidak setia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah dilaporkan berkata, keahliannya dalam UMNO masih aktif dan hanya di Sabah kedudukannya dikatakan digantung seperti disebut Bung Moktar sebelum ini.
Berikutan itu, beliau berkata akan membuat pengesahan mengenai keahliannya dalam masa terdekat.
Pada 2023, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat dan Ahli Parlimen Putatan itu dikatakan digantung keahlian dalam UMNO kerana mengkhianati keputusan UMNO Sabah yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Bung Moktar menjelaskan penggantungan keahlian Shahelmey bukan disebabkan sokongannya kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor tetapi kerana tindakan beliau yang mengkhianati perjuangan dan mandat parti.
“UMNO sebagai sebuah parti yang berprinsip tidak akan berkompromi dengan mana-mana ahli atau pemimpin yang tidak setia kepada perjuangan parti,” ujarnya.







