ALOR SETAR – UMNO Kedah hari ini menempelak kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan kononnya 47 pertuduhan dan DNAA adalah antara punca Pas tidak mahu Datuk Seri Zahid terbabit dalam Muafakat Nasional.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, jika menilai kenyataan tersebut, UMNO Kedah berpendapat bahawa Pas seolah mempunyai agenda politik tersembunyi.
Katanya, ini kerana pada 2019, apabila Pas dan UMNO bersama-sama menandatangani piagam Muafakat Nasional di PWTC, ketika itu Pas menerima UMNO dengan tangan yang terbuka, termasuk Ahmad Zahid yang ketika itu sudah pun dihadapkan dengan 87 pertuduhan.
“Kenapa ketika itu Pas tidak meletakkan sebarang syarat, malah dapat menerima penjelasan Datuk Seri Zahid bahawasanya 87 pertuduhan tersebut dikenakan terhadapnya oleh Tun Dr Mahathir kerana ketegasan beliau mempertahankan UMNO daripada dibubarkan.
“Untuk pengetahuan Datuk Seri Tuan Ibrahim, Presidan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai empat pertuduhan rasuah bernilai RM232. 5 juta. Mengapa asas yang sama tidak dikenakan terhadap Bersatu?,” katanya.
Tambahnya lagi, ini jelas bahawa di sini ada sesuatu yang tidak kena dengan syarat yang dikenakan dan alasan yang diguna pakai oleh Tuan Ibrahim.
“Adalah lebih berprinsip dan bermaruah jika Pas turut mengenakan syarat yang sama terhadap Bersatu, iaitu gabungan Pas dan Bersatu tanpa Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghadapi tuduhan rasuah RM232.5 juta.
“Justeru, UMNO Kedah ingin menyatakan sokongan terhadap segala keputusan berkaitan halatuju parti yang diputuskan oleh Presiden yang dibantu oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO,” katanya.
Menurut Shaiful Hazizy, apa yang penting sekarang bukanlah agenda untuk meruntuhkan atau tebuk atap.
Sebaliknya segala usaha dan tenaga parti harus ditumpukan untuk membangunkan negara bagi mendepani segala cabaran sehinggalah tamat penggal.
“UMNO Kedah ingin menyarankan Pas supaya hentikanlah angan-angan untuk menjadi kerajaan semula dengan agenda tebuk atap.
“Lebih baik Pas terima hakikat bahawa mereka adalah pembangkang dan fokuslah untuk menjadi pembangkang yang lebih berwibawa,” ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok.



