KLUANG – Perikatan Nasional (PN) terus memainkan isu tolak Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Peruntukan Pembangkang dalam siri kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota sebagai senjata politik.
Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, wakil rakyat pembangkang rela meneruskan kehidupan tanpa peruntukan demi menjaga maruah.
Bahkan katanya, setakat ini rakyat di kawasan yang diwakili wakil rakyat pembangkang tidak merungut bahkan memahami kekurangan peruntukan untuk salur bantuan.
“Setakat sekarang ni rakyat tak merungut.
“Saya akui sukar, susah, tapi kita sanggup berkorban,” jelas beliau ketika ditemui media di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dorset, malam tadi.
Ku Abd Rahman yang juga ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memberitahu, pembangkang bertegas tidak akan menerima MoU mengenai peruntukan sekiranya kerajaan masih mengekalkan syarat-syarat sama meskipun dirunding sekali lagi.
Tindakan pembangkang ini seolah-olah sengaja mencipta isu yang sepatutnya dapat diselesaikan melalui kaedah rundingan MoU dengan Kerajaan Perpaduan.
Justeru, sehari selepas pembangkang sebulat suara menolak MoU berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof tampil mendedahkan dua draf sebenar dokumen yang masih menjadi kontroversi itu.
Menurutnya, tindakan ini diambil bagi membolehkan rakyat menilai sendiri bahawa kesemua dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai perjanjian terbabit adalah tidak berasas sama sekali.
Kata Fadillah, memandangkan pihak pembangkang lebih gemar membuat kenyataan melalui media berhubung MoU berkenaan, maka dengan ini beliau kemukakan dua draf perjanjian berkenaan kepada pihak media untuk membuktikan ketelusan Kerajaan Madani.
“Niat Kerajaan Madani ini adalah untuk mewujudkan suasana aman harmoni dan supaya semua ahli Parlimen lebih memfokuskan kepada usaha pemulihan ekonomi dan dapat memainkan peranan dengan lebih konstruktif sebagai semak dan imbang.
“Ini penting supaya kita dapat menumpukan sepenuh tenaga kita dalam memulihkan ekonomi negara dan mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat, demi kesejahteraan semua dan kemakmuran Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.






