UMNO menegaskan bahawa parti itu tidak mempunyai kaitan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penemuan wang tunai dan jongkong emas dalam jumlah besar di rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu memandang serius sebarang cubaan untuk mengaitkannya dengan penyiasatan dan menegaskan SPRM perlu meneruskan tanpa sebarang campur tangan mana-mana pihak.
“UMNO tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penemuan tersebut dan berpendirian bahawa SPRM harus diberikan ruang untuk menjalankan siasatan secara telus, bebas dan adil tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau juga menegaskan bahawa UMNO tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba mengaitkan parti itu dengan kes itu.
“UMNO jelas tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang sengaja mengaitkan, menuduh, atau menimbulkan persepsi bahawa parti itu terlibat dalam kes yang disiasat,” tambah Asyraf.
Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, siasatan SPRM melibatkan ahli politik itu dan tidak mempunyai apa-apa dengan gabungan itu atau UMNO.
“Setakat ini, tak adalah yang kita dengar hal sedemikian (mana-mana pihak mengaitkan kes Ismail Sabri dengan BN).
“Seperti dimaklumkan, jika terdapat sebarang isu yang berkaitan dengan individu dalam parti, ia tidak ada kaitan dengan BN.
“Isu membabitkan individu biarlah diuruskan oleh individu terbabit, tetapi yang penting biarlah proses berjalan seperti dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi,” katanya pada sidang media di Parlimen pada Khamis.
Pada 3 Mac, SPRM menyatakan pihaknya akan merekodkan kenyataan bekas Perdana Menteri dan bekas Naib Presiden UMNO berhubung pengisytiharan asetnya dan kes-kes yang sedang disiasat.
Pertemuan antara SPRM dan Ismail Sabri dijangka diadakan pada Jumaat tetapi beliau tidak dapat menghadiri sesi keterangan di Ibu Pejabat SPRM esok seperti yang dijadualkan sebelum ini.
Sebaliknya, kehadiran Ahli Parlimen Bera itu ditangguhkan sehingga 13 Mac berikutan beliau masih dalam tempoh cuti sakit.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima makluman mengenai penangguhan tersebut.




