KOTA KINABALU – Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berbangga dengan keprihatinan Kerajaan Sabah dalam membasmi kemiskinan tegar di negeri ini.
Menurut Musa, Program Menoktahkan Kemiskinan Tegar Fasa Satu merupakan antara inisiatif untuk memastikan golongan berkenaan berjaya keluar dari garis kemiskinan.
“Program ini berjaya menoktahkan seramai 22,510 orang Ketua Isi Rumah (KIR) dalam senarai ‘locked figure’ miskin tegar pada 31 Julai 2024.
“Saya berharap agar langkah dan pemantauan yang berterusan akan dilaksanakan Kerajaan negeri bagi memastikan golongan ini terus berjaya keluar dari garis kemiskinan,” katanya semasa ucapan dasar kerajaan Sempena dengan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Tahun 2025 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16, di sini, pada Khamis.
Musa berkata, kerajaan Sabah juga memberi perhatian khusus kepada golongan miskin di luar bandar menerusi Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Pada tahun ini, peruntukan program ini telah dinaikkan membolehkan sebanyak 40 unit rumah dibina di setiap DUN berbanding 20 unit pada tahun lalu.
“Kerajaan Negeri juga akan terus menyediakan kemudahan asas perumahan yang berkualiti dan mampu milik melalui Projek Perumahan Awam dan Program Perumahan Mampu Milik.
“Perkara ini untuk memastikan rakyat khususnya dalam kalangan B40 mendapat akses kepada kediaman yang selesa dan berpatutan,” ujarnya.







