
TAWAU – Susulan tular di media sosial berkenaan sebuah teksi dipandu dalam keadaan kedua-dua pintu penumpang belakang terbuka, pemandu kenderaan terbabit dikenakan tindakan saman oleh Polis Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tindakan itu diambil kerana dipercayai boleh mengundang bahaya kepada penumpang serta menyebabkan kemalangan kepada pengguna jalan raya yang lain.
“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Tawau telah menerima maklumat kejadian ini pukul 3.30 petang kelmarin sebelum pemilik teksi lelaki tempatan berumur 54 tahun berasal dari Tawau berjaya dikesan melalui semakan sistem ‘Mobile Card Acceptance Device’ (MCAD) pukul 10.20 pagi tadi.
“Siasatan lanjut mendapati tindakan pemilik membuka kedua-dua belah pintu penumpang bahagian belakang adalah disebabkan kenderaan tersebut membawa muatan sebuah televisyen bersaiz besar sehingga pintu belakang kenderaan tersebut tidak dapat ditutup rapat.
“Justeru pihak polis juga telah mengeluarkan notis saman di bawah Rule 18 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (membawa barangan di atas kenderaan dengan membahayakan kenderaan lain atau orang lain) terhadap pemilik kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Menurut Jasmin, pemilik teksi terbabit juga dikenakan ujian alkohol dan saringan air kencing.
Beliau turut menyeru agar orang awam agar lebih bertanggungjawab semasa menggunakan media sosial dan melaporkan sebarang kejadian berbahaya kepada pihak berkuasa untuk tindakan segera.
Pada Selasa, rakaman video berdurasi 14 saat memaparkan sebuah teksi dengan kedua-dua pintu penumpang belakang terbuka seakan ‘terbang’ tular di media sosial dan mendapat pelbagai respons masyarakat.








