
KOTA BELUD – Polis menahan seorang lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan susulan tular satu video kejadian rompakan menggunakan senjata lastik di sebuah kedai runcit di Kota Belud, Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya terkesan dengan video berdurasi 59 saat berkenaan yang memaparkan dua lelaki mengenakan topi keledar bersenjatakan lastik untuk memecah masuk premis tersebut.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 4 pagi Rabu lalu di sebuah di Pekan Kota Belud di mana kedua-dua lelaki terbabit berjaya mengambil sejumlah wang yang diletakkan di dalam laci kedai berkenaan.
“Berlaku pergelutan, namun tiada kecederaan serius berlaku terhadap mangsa,” katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, seorang lelaki berumur 34 tahun kemudian ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Shahrudin turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud atau berhubung dengan pegawai kes iaitu Inspektor Izhafizan Haron di talian 014-6318003 untuk membantu siasatan.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya.






