
TAWAU – Tindakan nekad dua lelaki penagih dalam cubaan meloloskan diri sehingga merempuh kenderaan polis dan beberapa kenderaan orang awam di lampu isyarat Batu 3, Jalan Apas, di sini, pada Isnin, akhirnya berjaya diberkas polis.
Dalam kejadian pukul 1.45 petang itu, video tular dirakam orang awam memaparkan aksi pemandu kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam memandu secara berbahaya dan merempuh kenderaan lain.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, insiden berlaku ketika sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Tawau sedang menjalankan serbuan menerusi Op Tapis selepas mengesan pacuan empat roda terbabit dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Pasukan serbuan bertindak mengekori kenderaan terbabit sebelum cuba menyekatnya berhampiran kawasan perindustrian Batu 3.
“Namun suspek bertindak agresif dengan merempuh kenderaan polis dan melanggar beberapa kenderan milik orang awam,” katanya dalam kenyataan media, pada Selasa.

Menurut Champin, suspek turut melarikan diri ke arah lampu isyarat Jalan Apas dan terus memandu secara melulu sehingga melanggar beberapa lagi kenderaan awam di sepanjang laluan.
“Kedua-dua suspek akhirnya berjaya ditahan selepas pasukan polis mengepung kenderaan mereka di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan menemui sebuah beg kain di bawah brek tangan yang mengandungi hablur jernih syabu seberat 5.13 gram bernilai RM400,” katanya.
Jelasnya, kedua-dua suspek iaitu seorang lelaki tempatan berumur 25 tahun dan warga asing berumur 18 tahun didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.







