KUANTAN – Tujuh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Pahang mencatatkan keuntungan manakala dua lagi mengalami kerugian berdasarkan prestasi kewangan beraudit bagi tahun 2023.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, prestasi GLC sentiasa dipantau Kerajaan Pahang bagi memastikan ia kekal menjadi penyumbang utama kepada hasil dan pembangunan ekonomi negeri.
Menurutnya, setakat tahun berakhir 2024, terdapat sembilan syarikat induk atau perbadanan yang menerajui GLC Negeri Pahang dan terlibat dalam pelbagai sektor perniagaan.
“Tujuh GLC mencatatkan keuntungan adalah Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), Kumpulan Yayasan Pahang (YP), Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Kumpulan Pahang Corporation (Pahang Corp), Kumpulan Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK), Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) dan Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP).
“Dua GLC mengalami kerugian ialah Kumpulan Amanah Saham Pahang Berhad (ASPA) dan Pengurusan Pasir Pahang Berhad (PPPB),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas- Cheka) pada sesi pertanyaan lisan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Wan Rosdy memberitahu, kerugian dicatatkan Kumpulan ASPA berpunca daripada prestasi lemah anak syarikat utamanya, Mentiga Corporation Berhad, yang mencatat kerugian sebanyak RM13.6 juta.
Jelasnya, sementara itu, kerugian PPPB pula disebabkan oleh pembekuan Lesen Eksport (AP) oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), sekali gus menjejaskan operasi dan jualan syarikat tersebut.
“Kita telah mengambil langkah penambahbaikan bagi membantu memulihkan syarikat mengalami kerugian termasuk penyediaan pelan pemulihan perniagaan untuk tempoh lima tahun bagi Mentiga Corporation Berhad.
“Bagi PPPB, rayuan kepada kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan semula Lesen AP sedang diteruskan, selain menimbang pelbagai pilihan lain untuk memastikan kelangsungan operasi syarikat,” jelasnya.





