
KOTA KINABALU – Program Tuisyen Satelit MADANI 2025 anjuran Pejabat Khidmat Parlimen Sepanggar kini diperluas ke sekolah bagi memudahkan pelajar di kawasan ini mengikuti kelas tambahan secara percuma tanpa perlu hadir ke Pejabat Parlimen.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, langkah itu diambil selepas mendapati ramai pelajar menghadapi kesukaran untuk hadir ke pusat tuisyen sedia ada kerana kekangan logistik.
“Jadi kita telah berbincang dengan rakan strategik untuk kembangkan tuisyen ini ke sekolah.
“Sebab antara dapatan kita, ramai pelajar sukar hadir ke Pejabat Parlimen sebab masalah pengangkutan.
“Jadi apa yang kita buat, kita pergi ke sekolah sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Tuisyen Satelit MADANI 2025 di MADANI Sinergi Centre, Suria Inanam, di sini pada Sabtu.

Menurut Mustapha, pendekatan baharu itu akan memudahkan pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini untuk mengikuti sesi pembelajaran secara konsisten tanpa menanggung kos perjalanan tambahan.
“Dengan ini kita harap ia akan memudahkan anak-anak pelajar kita, terutama calon SPM tahun ini, untuk hadir ke pusat tuisyen percuma ini,” ujarnya.
Beliau berkata, seramai 127 pelajar dari SMK Bandaraya Kota Kinabalu dan SMK Telipok terlibat dalam pelancaran awal program berkenaan yang bermula sejak Ogos lalu.
Mustapha menjelaskan bahawa program itu bukan sekadar kelas tambahan biasa, tetapi satu bentuk sokongan pendidikan yang terancang untuk memperkukuh akses kepada pembelajaran berkualiti bagi pelajar tingkatan empat dan lima.
“Ia menunjukkan bahawa Parlimen Sepanggar benar-benar serius dalam membangunkan pendidikan masyarakat setempat,” katanya.
Selain kelas tuisyen percuma, Parlimen Sepanggar turut memperkenalkan beberapa inisiatif tambahan termasuk bantuan kewangan awal kepada pelajar asal kawasan itu yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA, IPTS dan prauniversiti.
“Bantuan ini disalurkan bagi membantu pelajar dan keluarga mereka membuat persiapan awal sebelum memulakan pengajian,” katanya.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Datuk Peto Galim.







