Tuduhan KWSP alami kerugian dalam MAHB tidak berasas

KUALA LUMPUR – Tuduhan bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengalami kerugian daripada penjualan saham dalam Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada 2023 adalah tidak berasas, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Menurutnya, bagaimanapun sebaliknya, KWSP berjaya merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.48 bilion bagi penyata kewangan hasil keuntungan daripada penjualan beli saham MAHB bagi penyata kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Amir Hamzah berkata, KWSP juga berjaya mengisytiharkan dividen sebanyak 5.50 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.40 peartus bagi Simpanan Shariah malah secara keseluruhan, sejak tahun 2014, jumlah pendapatan daripada dagangan aktif dan pengumpulan dividen saham MAHB telah mencapai nilai RM650 juta.

“Saham MAHB telah dijual pada harga antara RM6.80 hingga RM7.70 seunit, menghasilkan pendapatan berjumlah 102 juta ringgit untuk agihan dividen KWSP bagi tahun kewangan 2023. Prestasi saham MAHB yang mengatasi Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sebanyak 11.47 peratus turut menjadi faktor utama strategi ini,” katanya pada sesi jawapan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang meminta Kementerian Kewangan menjelaskan jumlah keuntungan atau kerugian yang dialami oleh KWSP dalam transaksi pembelian dan penjualan saham MAHB serta bagaimana keuntungan atau kerugian itu dilaporkan dalam penyata kewangan KWSP.

Mengulas lanjut katanya, aktiviti jual beli saham MAHB dan penswastaan MAHB yang baru dimuktamadkan pada tahun ini adalah dua pelaburan yang berbeza iaitu dari segi matlamat pelaburannya dan dari segi jabatan yang bertanggungjawab menguruskan pelaburan tersebut.

Jelasnya, Sehingga pengumuman Tawaran Sukarela (Voluntary General Offer, VGO) pada 15 Mei 2024 di Bursa Malaysia, aktiviti dagangan saham MAHB oleh pengurus dana saham tersenarai berjalan mengikut mandatnya untuk menjana pulangan untuk ahli-ahli KWSP.

Katanya, KWSP mengamalkan proses tadbir urus yang tegas melalui protokol perintang maklumat atau dikenali sebagai Chinese Wall yang merupakan amalan piawaian standard dalam kalangan GLIC dan institusi kewangan.

“Di bawah protokol perintang maklumat, Jabatan Pelaburan Strategik (JPS) yang bertanggungjawab ke atas VGO MAHB ini adalah dilarang sama sekali daripada berkongsi maklumat sensitif dan bukan umum kepada Jabatan Ekuiti (IP).

“Protokol ini memastikan pemisahan maklumat agar tidak berlaku sebarang percanggahan kepentingan yang boleh membawa risiko berlakunya “insider trading” yang merupakan kesalahan jenayah di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

“Protokol perintang maklumat tidak sewajarnya diperlekehkan kerana ianya merupakan langkah kawalan penting sebagai pertahanan terhadap “insider trading” seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 190, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

“Kesalahan insider trading ini merupakan satu kesalahan jenayah yang jika disabitkan boleh membawa kepada hukuman mandatori penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta,” ujarnya.

Tambahnya,sekiranya KWSP menggunakan maklumat dalaman untuk membuat dagangan saham, ini boleh merosakkan integriti dan keadilan pasaran saham di Malaysia memandangkan penyertaan KWSP adalah sebanyak 38 peratus daripada keseluruhan pasaran ekuiti tersenarai domestik.

“Kawalan dalaman ketat yang telah diwujudkan dan dipraktikkan dengan penuh integriti oleh KWSP inilah yang telah menyumbang kepada keteguhan KWSP sebagai sebuah institusi pelaburan yang disegani sepanjang hampir 75 tahun penubuhannya.

“Sebagai institusi pelabur terbesar di Malaysia, KWSP mengambil berat peranannya dalam menyumbang kepada kestabilan pasaran kewangan. Apa-apa tindakan tidak wajar oleh KWSP bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi dan kedudukan KWSP, malah boleh menjejaskan prestasi pasaran kewangan negara,” katanya.

Related Posts

Bantuan MADANI bukan sekadar subsidi, ia pemangkin inovasi dan kelestarian pertanian – Dr Norhelmi

KUCHING – Pengumuman Kerajaan MADANI berhubung penyaluran bantuan tambahan yang dijadualkan bermula 21 April 2026 nyata memberi nafas baharu kepada ratusan ribu penggiat sektor pertanian negara. Lebih daripada sekadar angka,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Islam menuntut keadilan bukan retorik politik

MUTAKHIR ini, muncul naratif yang cuba menggambarkan seolah-olah masalah ekonomi negara berpunca semata-mata daripada kegagalan moral pemimpin, malah dilabel dengan istilah keras seperti ‘bebal’ dan ‘zalim’. Naratif sebegini bukan sahaja…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Bantuan MADANI bukan sekadar subsidi, ia pemangkin inovasi dan kelestarian pertanian – Dr Norhelmi

Bantuan MADANI bukan sekadar subsidi, ia pemangkin inovasi dan kelestarian pertanian – Dr Norhelmi

Islam menuntut keadilan bukan retorik politik

Islam menuntut keadilan bukan retorik politik

CATS FM santuni golongan istimewa, erat silaturahim menerusi Ohsem Raya

CATS FM santuni golongan istimewa, erat silaturahim menerusi Ohsem Raya

Disyaki minta, terima RM500,000: Tiga penjawat awam agensi penguat kuasa direman

Disyaki minta, terima RM500,000: Tiga penjawat awam agensi penguat kuasa direman

Isu gangguan kutipan sampah dijangka selesai seminggu, MPKK gerak tindakan segera

Isu gangguan kutipan sampah dijangka selesai seminggu, MPKK gerak tindakan segera

Guru wanita maut, kereta bertembung lori

Guru wanita maut, kereta bertembung lori