KUANTAN – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggantung serta-merta pesawat pejuang F/A 18D Hornet, bermula hari ini susulan insiden membabitkan pesawat itu malam tadi.
Panglima TUDM, Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, pesawat itu musnah sepenuhnya akibat insiden berkenaan.
Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.05 malam tadi, juruterbang berpangkat Mejar berusia 34 tahun dan jurusensor senjata pesawat berpangkat Kapten berusia 28 tahun, sempat melompat keluar dari pesawat sebelum jet pejuang itu meletup dan terhempas.
Katanya, kedua-dua pegawai TUDM terbabit terselamat dan sudah dibenarkan keluar dari Hospital Tengku Ampuan Afzan jam 2 pagi tadi.
“Kedua-dua mangsa hanya cedera ringan kini ditempatkan sementara 815 Rumah Sakit Angkatan Tentera, Pangkalan Udara Kuantan.
“Lembaga siasatan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden pesawat TUDM.
“Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah di sini, ditutup sementara bagi memberi laluan kepada kerja pembersihan landasan.
“Ketika ini TUDM sedang membuat pemeriksaan dan membersihkan di sekitar lokasi pesawat terbabit terhempas.
“Selepas dipastikan selamat dan kerja pembersihan dilakukan,lapangan terbang ini dijangka dibuka selepas jam 1 tengah hari ini,” katanya pada sidang media di Pangkalan TUDM Kuantan, hari ini.
Muhamad Norazlan sebelum itu meninjau lokasi pesawat terbabit terhempas dan bertemu dua mangsa kemalangan jet pejuang terbabit.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.05 malam tadi, pesawat F/A-18D Hornet terhempas sebaik berlepas di landasan lapangan terbang terbabit.
Susulan kejadian itu juga, tular di media sosial gambar dan video kebakaran di landasan lapangan terbang berkenaan.






