BEIJING – Pertemuan ‘dirancang’ Presiden China, Xi Jinping bersama rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dikatakan melambangkan anjakan dalam keseimbangan kuasa global.
Ia sedikit sebanyak menggugat Barat terutamanya Amerika Syarikat (AS) memandangkan ketiga-tiga pemimpin itu antara yang digeruni gabungan negara kuasa besar.
Putin dan Jong-un mengadakan kunjungan ke Beijing sempena ulang tahun ke-80 memperingati berakhirnya Perang Dunia Kedua yang menyaksikan perarakan tentera di Dataran Tiananmen dengan mempamerkan senjata canggih China kepada dunia.
Antaranya misil balistik antara benua (ICBM) baharu, DF-5C dengan jarak jangkauan 20,000 kilometer.
Gambar simbolik ketiga-tiga pemimpin itu beriringan di karpet merah dan kelihatan mesra pada acara berkenaan meraih perhatian rangkaian media antarabangsa.
Semua pihak kini memberi tumpuan kepada trio itu, terutamanya Jong-un yang jarang meninggalkan Pyongyang tanpa diketahui umum.
Menerusi ucapan yang jelas menyindir Barat dan sekutunya, Jinping menegaskan China tidak lagi dapat ‘dihalang’ dalam landskap geopolitik semasa.
“Tujuan keamanan dan pembangunan manusia akan diutamakan. Umat manusia sekali lagi berdepan pilihan untuk perdamaian atau berperang, dialog atau konfrontasi dan hasil menang-menang atau situasi menang-kalah,” katanya.
Jinping menggesa komuniti antarabangsa menghapuskan punca perang dan menghalang tragedi sejarah daripada berulang.
Imej trio tersebut yang didakwa ‘diatur dengan teliti’ sebagai cubaan memprovokasi Barat, turut mengundang respons kurang menyenangkan Presiden AS, Donald Trump.
Presiden ke-47 AS itu yang seperti cacing kepanasan menuduh ketiga-tiga pemimpin tersebut berpakat mahu menentang Washington.
Sebelum ini, Trump dengan angkuh menyatakan hubungan tegang antara Beijing, Moscow dan negara lain tidak memberi sebarang ancaman kepada AS.






