JOHOR BAHRU – Sebuah treler terbabas dan merempuh sebuah kenderaan di Plaza Tol Perling menghala ke Gelang Patah, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 5.30 petang.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah treler jenis Volvo FM12 dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun dari arah Perling menuju ke Gelang Patah mengalami kerosakan brek angin.
“Ketika menghampiri Plaza Tol Perling menghala Gelang Patah, treler itu terbabas di lorong plaza tol tersebut dan melanggar sebuah kenederaan jenis Perodua Aruz 1.5X dipandu seorang wanita berusia 39 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Balveer Singh, perlanggaran itu menyebabkan kereta terbabit mengalami kerosakan pada bahagian pintu, pelindung lumpur (mudguard) dan bumper sebelah kiri.
Bagaimanapun katanya, kedua-dua pemandu dilaporkan tidak mengalami kecederaan dalam insiden berkenaan.
“Kemalangan disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan ketika mamandu sehingga menyebabkan kemalangan dan boleh dikenakan kompaun RM300,” katanya.







