
KUCHING – Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan, keamanan dan kestabilan di Laut Cina Selatan adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen semua negara berkepentingan.
Menurut beliau, Sarawak menyokong penuh usaha Kerajaan Persekutuan memperkukuh kerjasama serantau demi memastikan kawasan strategik itu terus aman, selamat dan makmur.
“Mesyuarat ini mencerminkan usaha kolektif kita dalam merealisasikan komitmen bersama terhadap keamanan dan kerjasama konstruktif di Laut Cina Selatan. Kawasan ini adalah ‘rumah bersama’ kita, dan kita memikul tanggungjawab untuk mengekalkan keharmoniannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Sarawak sempena Mesyuarat Ke-24 Pegawai Kanan ASEAN-China Mengenai Pelaksanaan Deklarasi Tatalaku (DOC) pada malam Rabu.
Abang Johari menambah, prinsip ini selari dengan Dasar Berkecuali yang mula diperkenalkan selepas Persidangan Bandung 1955 melalui konsep Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN). Pendekatan tersebut, katanya, kekal relevan sebagai asas hubungan serantau berteraskan saling menghormati.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata sebarang aktiviti oleh negara luar yang melibatkan perairan Malaysia akan dibincangkan dalam kerangka undang-undang antarabangsa.
“Saya percaya akan ada penyelesaian sekiranya wujud kelemahan tertentu. Seperti yang disebut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Amran Mohamed Zin, jika semua pihak mematuhi undang-undang antarabangsa, perbincangan akan membawa situasi menang-menang,” ujarnya.
Kehadiran pelbagai pihak itu menggambarkan kesepakatan dan iltizam berterusan untuk menjadikan Laut Cina Selatan sebagai zon keamanan demi kepentingan bersama negara-negara di rantau ini.
FOTO: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)







