
SIBU – Tourism Malaysia terus memperkasa momentum promosi pelancongan negara menerusi penganjuran sambutan Tahun Baharu Cina di Lapangan Terbang Sibu bersempena kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).
Majlis dimulakan dengan acara simbolik Yee Sang yang melambangkan perpaduan, kemakmuran dan kesejahteraan selari dengan aspirasi VM2026 untuk memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum serta komuniti pelancong.
Para pengunjung yang tiba diraikan dengan tarian singa dan pemberian cenderahati rasmi VM2026 sebagai tanda penghargaan dan simbolik sambutan perayaan. Pendekatan ini bukan sahaja memperkenalkan kempen VM2026 secara langsung kepada pelawat malah berfungsi sebagai platform penjenamaan destinasi yang lebih strategik dan berimpak tinggi.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Kr. Clarence Ting Ing Horh bersama wakil Sarawak Tourism Board serta penggiat industri pelancongan tempatan mencerminkan sinergi kukuh antara pihak kerajaan dan sektor swasta dalam memperkasa sektor pelancongan negeri.
Sebagai antara hab pengangkutan utama di Sarawak, Lapangan Terbang Sibu memainkan peranan penting dalam menghubungkan pelawat ke pelbagai destinasi pelancongan di wilayah tengah termasuk produk berasaskan budaya, warisan dan ekopelancongan yang semakin mendapat perhatian pasaran domestik dan antarabangsa.
Melalui pendekatan bersepadu dan berfokuskan pengalaman pelawat di pintu masuk negara, Tourism Malaysia yakin inisiatif seumpama ini mampu meningkatkan keterlihatan VM2026, merangsang perbelanjaan pelancong serta menyokong pertumbuhan mampan industri pelancongan sejajar aspirasi pembangunan ekonomi negara.






