
MUKAH – Amalan ziarah rumah terbuka terus membuktikan keharmonian masyarakat apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine mengunjungi kediaman Kapitan Kueh Bing Chuan sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, sekali gus mencerminkan kekuatan perpaduan pelbagai kaum di daerah ini.
Kehadiran beliau bukan sekadar kunjungan perayaan, malah menjadi simbol jelas bahawa sambutan rumah terbuka di Mukah diraikan bersama oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
Budaya ziarah rumah terbuka merupakan tradisi penting yang memperkukuh hubungan antara kaum serta mencerminkan identiti Mukah sebagai daerah yang kaya dengan nilai perpaduan dan keharmonian.

Rumah terbuka ini bukan sahaja diraikan oleh komuniti Cina, tetapi turut disertai masyarakat Melayu, Melanau dan lain-lain.
Turut hadir, ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi, Pegawai Daerah Mukah Paleadzman Ahip, Penghulu Haji Besiri Keri, Ketua Kaum Kpg Datuk Mukah Julaihi Hassan, Ketua Kaum Kpg Pegei Mukah Razali Junis, Ketua Kaum Kpg Penakup Ulu Jefri Musa serta wakil Parlimen Mukah.
Majlis tersebut berlangsung dalam suasana penuh mesra dan harmoni, dengan majlis sebelumnya disajikan oleh persembahan tarian singa daripada kumpulan di bawah Syarikat Puteri Jaya (Daro).
Amalan rumah terbuka seperti ini terus menjadi lambang keunikan masyarakat Sarawak, khususnya di Mukah, yang terkenal dengan semangat perpaduan kukuh dan saling menghormati antara kaum.






