PUTRAJAYA – Peningkatan kos perubatan serta kewujudan titah adendum berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-61, antara tumpuan utama sidang Dewan Rakyat hari ini.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) dijadual mengemukakan pertanyaan kepada Perdana Menteri mengenai langkah kerajaan mengatasi masalah kenaikan premium insurans perubatan antara 40 hingga 70 peratus dan inflasi kos perubatan negara sebanyak 12.6 peratus pada 2023, lebih dua kali ganda berbanding purata global 5.6 peratus pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Pada sesi sama, Perdana Menteri turut dijadualkan menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai kewujudan titah adendum berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-61 pada 29 Januari lalu, membabitkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) pula pada sesi soal jawab meminta Menteri Ekonomi menyatakan pelaksanaan subsidi bersasar bagi petrol dan menjelaskan pendekatan yang akan diambil bagi memastikan golongan terkesan menerima bantuan sewajarnya.
Seterusnya, bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Keselamatan dalam Talian 2024, Rang Undang-Undang Pemegang Amanah (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Pemegang Amanah (Pemerbadanan) (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Perkongsian Data 2024 akan dibacakan.
Sidang Dewan Rakyat sesi ini berlangsung selama 35 hari dengan bermula 14 Oktober lalu dan dijadualkan berakhir Khamis ini.





