KUANTAN – Jabatan Perikanan Pahang akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab melakukan kacau ganggu terhadap penyu agar di kawasan pantai pendaratan reptilia itu dekat Cherating, Ahad lalu.
Pengarahnya, Roslan Abu Hasan berkata, tindakan tiga lelaki mengusung penyu di pantai terbabit sebagai perbuatan kejam.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika reptilia itu mendarat di tepi pantai berkenaan untuk bertelur.
“Jabatan Perikanan Pahang amat kesal dengan perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan tiga individu terbabit,
“Penyu adalah haiwan dilindungi dan kejadian itu mencerminkan kurangnya kesedaran segelintir masyarakat terhadap kepentingan memelihara spesies marin semakin terancam itu.” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam rakaman video yang tular, tiga lelaki mengusung penyu ke lubang digali mereka di Pantai Cherating untuk membiarkan haiwan itu bertelur.
Seorang lelaki berusia 51 tahun dan positif dadah disyaki terbabit dengan kejadian itu sudah ditahan polis semalam, manakala dua lagi suspek sudah dikenal pasti.






