
KANGAR – Kepimpinan Kerajaan MADANI yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipuji kerana mengambil langkah proaktif dalam melindungi rakyat Malaysia daripada kesan kenaikan harga minyak dunia susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Ketua Penerangan PKR Negeri Perlis merangkap Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Perlis, Syazwan Fahmi Badrul Sham berkata, pendirian dan langkah yang diumumkan Perdana menunjukkan kerajaan bertindak pantas serta bertanggungjawab dalam memastikan kestabilan ekonomi negara terus terpelihara.
Menurutnya, kenyataan Perdana Menteri selepas Mesyuarat Jemaah Menteri memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap keselamatan serantau, kestabilan ekonomi global serta kebajikan rakyat Malaysia yang mungkin terkesan akibat konflik yang semakin memuncak di rantau Asia Barat.
“Kerajaan mengambil pendirian tegas mengecam serangan terhadap Iran serta melaksanakan usaha diplomasi aktif dengan menghubungi pemimpin negara-negara Teluk, Turki, Indonesia dan Menteri Luar Iran bagi meredakan ketegangan serta mengelakkan konflik daripada merebak,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga memberi jaminan bahawa bekalan petroleum negara berada dalam keadaan mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026 hasil pengurusan cekap oleh Petronas dan kerajaan.
Katanya, langkah mengekalkan harga petrol RON95 Budi MADANI pada paras RM1.99 seliter walaupun harga minyak dunia meningkat secara mendadak turut membuktikan komitmen kerajaan untuk melindungi rakyat daripada kesan langsung kenaikan kos hidup.
Tambah beliau, kerajaan juga memperkukuh penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan bahan api yang berpotensi meningkat susulan perbezaan harga antara Malaysia dan negara jiran.
“Kerajaan turut menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Menteri Kewangan II bagi memantau impak ekonomi konflik ini secara berterusan supaya langkah segera dapat diambil bagi melindungi kestabilan ekonomi negara,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata keputusan kerajaan yang menetapkan semua agensi kerajaan, GLC dan GLIC tidak menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri tahun ini mencerminkan pendekatan berjimat cermat serta kesiapsiagaan kerajaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Menurutnya, usaha kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Luar Negeri dalam membawa pulang rakyat Malaysia dari kawasan Asia Barat yang terjejas oleh konflik turut wajar dihargai.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus memberikan sokongan kepada usaha kerajaan bagi memastikan negara kekal stabil, selamat dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global.




