MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penggantungan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria, selama enam bulan bukan satu penganiayaan.
Sebaliknya, keputusan itu dibuat mengikut peraturan di bawah Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri.
Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak itu, sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu mahu membawa naratif (penggantungan) pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, beliau juga akan menjelaskan situasi sebenar kepada pengundi.
“Siapa mahu mengaku bersalah? Apabila dihukum, semua itu dikatakan takdir.
“Saya ingatkan, kalau perkara ini dijadikan isu untuk PRK Ayer Kuning, saya pun boleh juga jadikan isu.
“Jelaskan kepada para pengundi, Ketua Pembangkang dijatuhkan hukum sebab salah berdasarkan buku hijau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan Ketua Pembangkang itu yang digantung enam bulan daripada menghadiri persidangan DUN berkuat kuasa serta merta.
Terdahulu, dalam satu sidang media, Razman berkata, beliau akur dengan keputusan itu namun menyifatkan ia sebagai suatu kepincangan atau ketidakadilan.
Malah, beliau sendiri menyatakan perkara pergantungan ini juga akan dijadikan modal kempen untuk membantu calon Perikatan Nasional (PN) pada PRK DUN Ayer Kuning.
Malah, menjengah di status yang dimuat naik pada hantaran di Facebook miliknya, beliau menulis ‘Usul dibentang oleh DAP, disokong oleh UMNO’ turut mengundang pelbagai reaksi negatif dan positif.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, mana-mana ADUN yang dengan sengaja melanggar peraturan dalam Persidangan DUN akan dikenakan tindakan, termasuk digantung selaras dengan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Perak.
“Justeru sebagai penggubal kepada Perintah-Perintah Tetap Dewan itu sendiri, mereka seharusnya akur dengan semua ketetapan yang digariskan.
“Seorang ADUN seharusnya tidak melampaui batas dengan melanggar peruntukan yang ditetapkan,” katanya.
Tambah beliau, dalam peraturan di Dewan, kita boleh bercakap dan berhujah tetapi ada batasannya.
“Jangan melampaui batas, tak boleh menghasut atau menghina,” katanya lagi.








