KANGAR – Tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita yang terserempak dengan pasukan rondaan polis ditahan di tepi Jalan Persiaran Sungai Baru, Simpang Empat awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, tangkapan dibuat sekitar jam 4.36 pagi hasil maklumat Ops Pintas yang dijalankan bersama beberapa unit penguat kuasa.
“Pasukan rondaan melihat tiga individu dalam keadaan mencurigakan di persisiran Pantai Sungai Baru sebelum menghampiri mereka untuk pemeriksaan butiran diri.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati dua daripada mereka memiliki pasport namun tanpa cop keluar masuk Malaysia manakala seorang lagi langsung tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan,” katanya.
Menurut sumber, operasi itu melibatkan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kangar, D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis serta anggota Balai Polis Kangar dengan bantuan pasukan ronda Simpang Empat.
Tambahnya, kesemua suspek terdiri daripada seorang lelaki berusia 21 tahun serta dua wanita berumur 34 dan 25 tahun yang dipercayai berada di negara ini tanpa kebenaran sah.
“Mereka ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan berada di Malaysia tanpa dokumen yang sah,” katanya.
Jelasnya lagi, polis turut merampas beberapa barangan termasuk dua pasport, tiga buah telefon bimbit serta beberapa keping kad SIM daripada suspek bagi membantu siasatan lanjut.





