
IPOH – Tiga lelaki ditemukan maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika disyaki cuba mencuri kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan tanah lapang berhampiran tiang elektrik di Taman Rapat Perdana, di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu sekitar jam 10 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Polis Kampung Rapat digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiga lelaki tempatan berusia antara 35 hingga 50 tahun telah disahkan meninggal dunia di lokasi berkenaan.
“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki tersebut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba memotong kabel elektrik pada tiang milik TNB,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kesemua mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi tujuan bedah siasat untuk menentukan punca sebenar kematian.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri, selain turut diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan lanjut.
Dalam pada itu, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang kegiatan jenayah seperti mencuri kabel kerana perbuatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mengancam keselamatan diri,” katanya.




