
KUCHING – Tiga lelaki tempatan ditahan manakala pelbagai jenis dadah bernilai RM4,404 dirampas dalam tiga serbuan berasingan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ASP Alexson Naga Chabu berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 24 hingga 36 tahun itu ditahan hasil risikan berterusan dan maklumat orang awam.
Menurut beliau, serbuan pertama dijalankan pada jam 3.25 petang, 5 Januari di kaki lima sebuah hotel di Jalan Tabuan, yang membawa kepada penahanan suspek berusia 31 tahun.
“Hasil pemeriksaan menemui satu peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat 5.15 gram bernilai RM566.
“Susulan itu, serbuan kedua dilakukan pada jam 3.30 petang hari yang sama di kawasan parkir hotel berkenaan dan menahan seorang lelaki berusia 36 tahun bersama dua peket syabu seberat 5.83 gram bernilai RM638,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Alexson berkata, serbuan ketiga dijalankan pada jam 12.40 tengah malam Selasa di parkir sebuah kafe di Jalan Tun Jugah.
Jelasnya, pasukan serbuan menahan seorang pemuda berusia 24 tahun dan merampas lima peket berwarna hijau berisi serbuk campuran disyaki dadah jenis MDMA seberat 248.10 gram.
“Rampasan bagi kes ketiga ini dianggarkan bernilai RM3,200.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek bagi kes pertama dan kedua positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine, manakala suspek ketiga didapati negatif,” ujarnya.
Beliau menambah, semakan rekod mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Kesemua suspek kini direman bermula 7 Januari untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kes pertama dan kedua, manakala kes ketiga disiasat di bawah Seksyen 39B akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.







