
BINTULU- Tiga mangsa tercedera dilaporkan dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Sebauh, di sini malam tadi.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan ll (PBK ll) Mazlan Tanin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.39 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya dilokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu satu kenderaan jenis lori kontena, sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux dengan satu kenderaan jenis Perodua Kancil.
“Tiada mangsa yang tersepit dan kesemua mangsa dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba di lokasi.
“Kesan kemalangan itu, kesemua mangsa hanya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan awal daripada pasukan perubatan Hospital Bintulu.
“Setelah selesai mendapatkan maklumat pemandu dan memastikan keadaan kejadian selamat, pasukan kemudian bertolak balik ke balai,” katanya.