PUTRAJAYA – Tiga lagi Ahli Parlimen Bersatu terdiri daripada kem yang menyokong Datuk Seri Hamzah Zainudin telah dipecat daripada parti.
Mereka adalah Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob serta Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang sebelum ini digantung keahlian selama satu penggal turut dipecat.
Menerusi surat pemecatan yang dikeluarkan Lembaga Disiplin Bersatu, Azahari dan Fathul Huzir sudah melanggar Perlembagaan parti.
Pengerusinya, Datuk Mohd Radzi Manan berkata, Lembaga Disiplin sudah bersidang semalam dan memutuskan bahawa dua pemimpin itu dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 berkuatkuasa mulai hari ini.
Beliau berkata, pemecatan itu kerana dua pemimpin tersebut melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.
“Sila ambil perhatian bahawa notis ini berkuat kuasa serta-merta.
“Walaubagaimanapun pihak Yang Berhormat boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini,” katanya.
Terdahulu, Hamzah yang merupakan Timbalan Presiden Bersatu menjadi mangsa pertama pemutihan parti apabila dipecat kerana didakwa mengetuai gerakan untuk menjatuhkan kepimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dimaklumkan bahawa Lembaga Disiplin memutuskan bahawa Hamzah dipecat serta-merta.
Beliau berkata, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang itu sudah melanggar Perlembagaan Bersatu.






