Dakwaan Deklarasi Kuala Lumpur, ACV2045 ‘wayang’ ASEAN tidak tepat

PUTRAJAYA – Pandangan Deklarasi Kuala Lumpur dan Visi Komuniti ASEAN 2045 (ACV2045) diibaratkan seperti ‘teater’, bahawa keputusan sebenar telah dibuat di tempat lain adalah tidak tepat.

Pemerhati hubungan antarabangsa dan geopolitik Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, deklarasi itu seharusnya ditegur bukan sekadar retorik semata-mata, namun peluang untuk memperkukuh kesepaduan serantau secara berperingkat.

Menurut beliau, kritikan terhadap kelemahan dalaman adalah wajar, namun ia harus disertai dengan kesedaran bahawa transformasi ASEAN memerlukan pendekatan yang lebih sabar, inklusif dan pragmatik.

“Deklarasi (Kuala Lumpur) ASEAN 2045 membawa harapan baharu kepada masa depan rantau ini, dengan visi yang digariskan melalui kata kunci seperti berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berpaksikan rakyat.

“Frasa terbabit memberi gambaran bahawa ASEAN sedang berusaha melangkah ke hadapan sebagai sebuah komuniti yang lebih inklusif dan responsif terhadap cabaran global.

“Masa depan ASEAN bergantung kepada keupayaannya menyesuaikan diri tanpa kehilangan identiti kolektif, dan inilah cabaran sebenar yang perlu ditangani secara berani dan berterusan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan penganalisis geopolitik, Sayed Nizamuddin Sayed Khassim yang memaklumkan deklarasi yang diperkenalkan itu tidak mencermin realiti sebenar ASEAN. 

Katanya, ASEAN bukan satu ‘blok’ geopolitik, sebaliknya ia adalah satu ‘jenama’ yang tidak mempunyai kuasa pusat, sekali gus menyukarkan pertubuhan itu mencari konsensus. 

Mengulas lanjut, Nur Ashikin mengakui ASEAN secara asasnya bukanlah sebuah entiti berpusat, tetapi merupakan gabungan 10 negara yang memiliki keutamaan, kapasiti dan realiti politik yang sangat berbeza.

Jelasnya, dasar terbabit menjadikan usaha membentuk tindakan kolektif seperti menangani krisis di Myanmar atau mengekang ketegangan di Laut China Selatan sebagai satu cabaran yang kompleks.

“Keunikan ASEAN juga terletak pada pendekatannya yang berhati-hati dan tidak konfrontatif, yang dalam beberapa kes telah mengelakkan ketegangan serantau daripada menjadi konflik terbuka.

“Prinsip tidak campur tangan mungkin kelihatan sebagai kelemahan, tetapi dalam persekitaran serantau yang berbilang sistem politik dan budaya, ia juga berperanan mengekalkan keharmonian asas antara negara anggota,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Ashikin berpandangan, ASEAN berpotensi memperluaskan konsep keselamatan menyeluruh dengan mengiktiraf dan menyokong peranan pelbagai lapisan kerajaan dan masyarakat dalam membina daya tahan bersama.

“Kita boleh melihat peningkatan kepentingan aktor-aktor subnasional dalam membentuk arah pembangunan dan keselamatan. Di negeri-negeri seperti Johor serta Sarawak dan wilayah seperti Mindanao, Filipina, pemain tempatan semakin memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan dan kelangsungan pelaburan.

“Perkara sedemikian menunjukkan bahawa dalam era global yang lebih kompleks, keselamatan dan hubungan antarabangsa tidak lagi boleh dipusatkan semata-mata pada kerajaan pusat,” katanya.

Dalam konteks hubungan antarabangsa, katanya, ASEAN dilihat blok serantau yang berjaya menjadi platform dialong relatif stabil selain menjadi entiti penting dalam mendamaikan pertembungan antara kuasa besar, walaupun anggotanya mempunyai kecenderungan berbeza terhadap aktor seperti Amerika Syarikat dan China.

Nur Ashikin menjelaskan, Deklarasi KL ASEAN 2045 bukanlah jawapan muktamad, tetapi ia menyediakan kerangka aspirasi yang boleh dibina dengan langkah lebih serius, sekiranya terdapat komitmen politik yang berterusan dan kejujuran dalam pelaksanaan.

“Sudah tentu, cabaran tetap wujud terutamanya dari segi ketelusan, keberkesanan dasar dan kecenderungan terhadap simbolisme politik. Namun kita juga harus mengakui bahawa transformasi institusi mengambil masa. 

“Dalam dunia yang semakin berpecah dan tidak menentu, pendekatan ASEAN yang bersifat konsensus mungkin lambat, tetapi ia menawarkan kestabilan jangka panjang yang semakin jarang dalam geopolitik global,” katanya.

Related Posts

10 tapak Bazar Ramadan 2026 bakal beroperasi di Padawan

KUCHING – Sebanyak 10 tapak Bazar Ramadan akan beroperasi dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Padawan (MPP) bagi tahun 2026, melibatkan penyertaan penganjur daripada pihak komuniti dan sektor swasta. Pengerusi MPP,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Apabila seorang anak sudah bersedia, mengapa kita perlu menahannya?

PAGI itu, seorang ibu berdiri di hadapan pintu sekolah rendah dengan tangan anaknya digenggam erat. Anak itu baru berusia 6 tahun. Wajahnya tidak gentar. Beg galasnya kemas, matanya bercahaya, dan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

TCCS Marine sasar lahir tenaga maritim profesional

TCCS Marine sasar lahir tenaga maritim profesional

TCCS Marine pacu ekosistem latihan maritim negara

TCCS Marine pacu ekosistem latihan maritim negara

10 tapak Bazar Ramadan 2026 bakal beroperasi di Padawan

10 tapak Bazar Ramadan 2026 bakal beroperasi di Padawan

Apabila seorang anak sudah bersedia, mengapa kita perlu menahannya?

Apabila seorang anak sudah bersedia, mengapa kita perlu menahannya?

Lelaki ada 9 rekod jenayah positif dadah dicekup

Lelaki ada 9 rekod jenayah positif dadah dicekup

Penggunaan AV Pos Malaysia tingkat kecekapan, bukan singkir pekerja – Fahmi

Penggunaan AV Pos Malaysia tingkat kecekapan, bukan singkir pekerja – Fahmi