
GERIK – Haruan makan anak!
Itu yang dilakukan oleh seorang bapa, berusia 42 tahun, apabila dia sanggup merogol anak perempuannya berusia 14 tahun pada kejadian di Bersia, di sini, pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, lelaki tersebut telah ditahan pada Jumaat, selepas anak perempuannya yang juga mangsa membuat laporan polis sekitar jam 12.23 malam kelmarin mendakwa dia dirogol suspek tersebut.
Jelasnya, mangsa telah dibawa membuat pemeriksaan di hospital sebelum hadir membuat laporan di balai polis.
“Hasil siasatan mendapati, kejadian rogol itu berlaku antara jam 1 hingga 5 pagi Rabu lalu di Bersia. Mangsa telah dibawa membuat pemeriksaan di hospital sebelum hadir membuat laporan di balai polis.
“Susulan laporan polis itu, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di Jeti Air Temin pada jam 7.45 pagi tadi (Jumaat),” katanya dalam satu kenyataan.
Zulkifli mendakwa, hasil pemeriksaan juga mendapati, suspek turut mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan iaitu kesalahan sumbang mahram.
“Berkaitan kes ini, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Khamis dan kes disiasat mengikut Seksyen 373(3) Kanun Keseksaan bagi kesalahan rogol,” jelasnya.





