
MALAYSIA mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera oleh rejim Zionis Israel terhadap negara berdaulat Iran khususnya di Tehran, Karaj, Kashan, Mashhad dan Shiraz pada awal pagi Sabtu.
Dalam satu kenyataan, Wisma Putra berkata bahawa serangan ini merupakan pencabulan undang-undang antarabangsa secara terang-terangan dan menjejaskan kestabilan serantau secara serius.
Skala, jumlah korban, dan kerosakan masih ditentukan.
“Malaysia menggesa agar permusuhan dihentikan serta-merta dan kitaran keganasan dihentikan,” kata kenyataan itu pada Sabtu..
Wisma Putra berkata tindakan berterusan Israel tanpa hukuman telah menjejaskan dan akan terus menjejaskan keselamatan dan kestabilan masa depan Timur Tengah, membawa rantau itu lebih dekat ke ambang konflik yang lebih luas.
Kenyataan itu berkata bahawa Kedutaan Malaysia di Tehran memantau dengan teliti perkembangan ini dan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas oleh serangan itu.
“Semua rakyat Malaysia di Iran dinasihatkan supaya bertenang, berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta panduan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan,” baca kenyataan itu.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Tehran di alamat berikut: No. 25, 2nd Alley, North Zarafshan St., Shahrak-e-Gharb, Tehran, Republik Islam Iran.
Mereka juga boleh menghubungi kedutaan melalui telefon di talian +98 21 8807 2444 atau +98 21 8807 8606, atau melalui e-mel di mwtehran@kln.gov.my.







