
PUTRAJAYA – Desakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilucut jawatan hanya kerana mempertahankan tindakan polis terhadap peserta perarakan mendiang Teoh Beng Hock adalah bersifat tidak adil.
Ketua Kluster Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Mohd Kamarul Nizam Abdullah berkata, pemimpin kanan PKR itu telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memperbaiki sistem penguatkuasaan undang-undang dan memastikan hak asasi manusia di Malaysia dihormati.
Beliau berpandangan, pelbagai kejayaan telah dilakar oleh Saifuddin dalam memastikan semua agensi penguatkuasaan undang-undang menjalankan tugas dengan efisien, selain menjamin keselamatan dalam negeri daripada ancaman serta mengawal selia isu berkaitan imigresen, kewarganegaraan, dan status penduduk tetap.
“Antaranya, beliau telah berjaya memperkenalkan pembaharuan dalam sistem imigresen Malaysia, termasuk mempercepatkan proses permohonan visa dan memperkenalkan penggunaan teknologi terkini untuk mengesan aktiviti haram di sempadan negara.
“Prinsip ihsan dirai hebat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam aspek pengurusan tahanan. Saifuddin perkenalkan Baitul Mahabbah untuk menempatkan sementara tahanan kanak-kanak dari depot imigresen ke suatu tempat yang jauh lebih kondusif untuk golongan berkenaan sebelum dihantar pulang ke negara asal.
“Sehingga kini, tiga buah pusat masing-masing di Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak sudah diluncurkan menempatkan 170 orang kanak-kanak. Manakala tiga lagi pusat yang sama akan diluncurkan di Kedah, Johor dan Kelantan pada tahun ini,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Kamarul berkata, Menteri Dalam Negeri juga telah menjenamakan semula Jabatan Penjara sebagai Pusat Pembangunan Peradaban Budaya Kemanusiaan dengan menerapkan pendekatan pembangunan koreksional terhadap prospek (banduan) dalam seliaannya, selain program seperti parol, Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) dan pemulihan dalam komuniti terus diperkasa.
Beliau yang juga Felo Utama Pusat Kajian Asia, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) berkata, kedudukan Malaysia menerusi laporan US Department of State Trafficking in Person merekodkan peningkatan daripada tahap ketiga pada tahun 2022 kepada Tier 2 yang ketika ini masih dalam penilaian Amerika Syarikat untuk tahun 2024.
“Kadar jenayah indeks di Malaysia juga menunjukkan trend penurunan signifikan. Sasaran ditetapkan di bawah RMK-12 adalah 238 kes jenayah indeks bagi setiap 100,000 penduduk. Pun begitu, pada tahun 2023, bilangan kes jenayah indeks adalah pada kadar 149 dan sehingga Jun 2024, bilangan kes terus dilaporkan menurun kepada 72 sahaja.
“Berkaitan kewarganegaraan, KDN mencapai indeks prestasi utamanya bagi memproses 10,000 permohonan setiap tahun di mana beliau telah memproses lebih daripada 11,500 permohonan sedemikian pada 2023. Sehingga Jun 2024, 9,048 keputusan permohonan kewarganegaraan atau 53 peratus daripada sasaran, iaitu 17,000 sudah dimaklumkan kepada pemohon,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Kamarul berkata,
perihal pekerja asing juga diurus secara teliti dan ditambah baik, berlandaskan empat pendekatan yang jelas iaitu memudah cara urusan kemasukan pekerja asing, mengurangkan kos migrasi, menjaga kebajikan pekerja serta melindungi kepentingan majikan.
“Oleh itu, mengapa Saifuddin tidak diberi pujian atas prestasi cemerlangnya sebaliknya dikritik? Tidak lain tidak bukan kebarangkalian untuk ada agenda peribadi pengkritik tidak boleh dinafikan sama sekali.
“Lebih teruk lagi, ada pula beberapa kumpulan masyarakat sivil picisan yang sehari dua ini mendesak Perdana Menteri untuk melucutkan jawatan Saifuddin pula.
“Tidak adil untuk mana-mana pihak menilai kepimpinan Saifuddin hanya berdasarkan insiden kecil. Beliau wajar diberikan sokongan penuh untuk meneruskan usaha cemerlangnya di KDN,” katanya.
Terdahulu, sebanyak 23 NGO menerusi kenyataan bersama mendesak Saifuddin dipecat daripada jawatan Menteri Dalam Negeri susulan kegagalannya dalam mengendalikan perkara berkaitan kes kematian Beng Hock dan isu hak asasi manusia yang lain.
Jelasnya, beliau telah gagal mengarahkan siasatan kes pembunuhan pembantu politik itu walaupun Mahkamah Rayuan mendapati pada 2014 bahawa kematian Teoh pada 2009 disebabkan oleh seseorang atau beberapa orang yang tidak dikenali, termasuk pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).