ISKANDAR PUTERI – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka akan diadakan dalam tempoh dua tahun lagi iaitu pada 2027.
Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia ekoran penggal pentadbiran Kerajaan Negeri hanya akan tamat pada tempoh berkenaan iaitu pada April 2027.
Menurut beliau, barisan kepimpinan negeri sedia ada masih memiliki tempoh dua tahun untuk memberikan tumpuan penuh kepada kerja-kerja pembangunan ekonomi dan infrastruktur demi manfaat rakyat.
“Ini bukan musim pilihan raya, penggal pentadbiran hanya akan tamat pada April 2027, ada dua tahun lagi jadi seperti dititahkan Pemangku Sultan Johor untuk kita fokus pembangunan negeri Johor.
“Marilah kita cari titik persamaan agar kerjasama dapat dicapai dan bukannya mencari titik perbezaan antara kita sehingga boleh menyebabkan perpecahan berlaku,” katanya ketika sesi penggulungan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Sebelum ini, beberapa pihak khususnya kumpulan politik mengeluarkan pendapat mengenai PRN Johor yang dijangka akan berlaku pada tahun depan atau berkemungkinan lebih awal.




