
KANGAR – Tiada kompromi bagi mana-mana kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang melanggar integriti dan undang-undang negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad menegaskan bahawa tindakan drastik ini diambil untuk memastikan tahap integriti jabatan kekal utuh dan bagi mengelakkan sebarang kesan negatif terhadap organisasi secara keseluruhan.
“Sambutan Hari Integriti Peringkat JBPM 2024 ini perlu dijadikan peringatan untuk membudayakan amalan tadbir urus yang telus, berteraskan amanah, kejujuran, dan tanggungjawab.
“Integriti merupakan asas kepada kejayaan jabatan, dan jika amalan rasuah, pecah amanah, penipuan, serta salah guna kuasa dibiarkan, ia mampu menghancurkan organisasi dari dalam,” katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, majlis tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap integriti, menyemai nilai etika dan moral, serta menggalakkan tindakan positif dalam kalangan warga JBPM.
“Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, Unit Integriti JBPM telah menerima sebanyak 273 aduan salah laku, 42 aduan berkaitan skandal seksual, 38 aduan salah guna kuasa, 30 aduan mengenai pengurusan, 12 aduan rasuah dan sembilan aduan penyelewengan.
“Dari tahun 2019 hingga Oktober 2024, seramai 74 pegawai bomba telah dipecat atas pelbagai kesalahan tatatertib, termasuk rasuah dan jenayah seksual,” ujarnya.
Sebagai langkah proaktif memperkukuh integriti, jabatan telah melaksanakan ISO 37001:2016 Anti Bribery Management System (ABMS) yang kini memasuki tahun keempat. Selain itu, seramai 79 Marshal Integriti (MI) telah dilantik di peringkat negeri untuk bertindak sebagai pengawas dalaman bagi Unit Integriti JBPM.
Pada majlis tersebut, 12 JBPM Negeri diiktiraf dengan pengiktirafan 5 bintang, manakala empat lagi negeri menerima penilaian 4 bintang dalam Pertandingan Integriti, Governans dan Anti Rasuah (PIGA) edisi keempat.




