
KUANTAN – Kenyataan dikeluarkan Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud dalam isu rasuah membabitkan beberapa ADUN di negeri itu tidak mewakili pendirian rasmi parti berkenaan.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh menegaskan, buat masa ini tidak ada kenyataan rasmi dari ibu pejabat PKR dalam isu berkenaan.
“Itu adalah pendirian peribadi (pengerusi) PKR Sabah, bagi pihak Setiausaha Agung, tidak ada kenyataan rasmi dalam hal berkaitan,” katanya ringkas ketika sidang media selepas merasmikan premis kecantikan di sini, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengulas demikian ketika ditanya mengenai kenyataan dikeluarkan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) semalam, yang membidas PKR Sabah berhubung reaksi terhadap dakwaan baru berkaitan skandal rasuah negeri itu.
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Armizan Mohd Ali dilaporkan berkata, gabungan parti itu menyifatkan sekutu mereka ‘tergesa-gesa membuat kenyataan’ dan tidak menghormati proses sewajarnya.
Mustapha yang juga Timbalan Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini didakwa melahirkan rasa terkejut dengan laporan sebuah portal mengenai video dan bukti lain membabitkan enam lagi ahli politik dalam skandal lesen cari gali mineral di Sabah.
Beliau dilaporkan berkata bahawa PKR Sabah ‘terkejut’ dengan dakwaan itu, sambil menambah bahawa parti itu sedang menilai kesan politik susulan skandal berkenaan.
Armizan dalam respon balas terhadap kenyataan dibuat Mustapha itu menekankan bahawa GRS secara konsisten memilih untuk tidak membuat perbandingan atau membuat kenyataan spekulatif kerana ia percaya dalam membenarkan proses undang-undang berjalan dengan lancar.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Fuziah memberitahu, pihak KPDN sudah menyiapkan draf baharu membabitkan premis menawarkan perkhidmatan kecantikan.
Katanya, kali terakhir draf berkaitan perniagaan itu disemak adalah pada tahun 2013.
“Draf yang baharu itu sudah siap, sekarang cuma tunggu untuk dibawa ke Kabinet.
“Secara umumnya, ia membabitkan perkhidmatan dan pengendalian peralatan dalam premis kecantikan itu sama ada dikendalikan oleh mereka yang memiliki kepakaran dalam bidang kesihatan dan tidak memiliki kepakaran,” jelasnya.