
KEMAMAN – Ahli Komuniti MADANI perlu sentiasa dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran komunikasi terkini bagi memastikan penyampaian maklumat serta dasar kerajaan dapat dilaksanakan secara berkesan di peringkat akar umbi.
Penolong Pengarah Gerak Saraf dan Pengurusan Isu, Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Mohd Othman Abu Bakar berkata, keupayaan menyampaikan maklumat secara efektif amat penting khususnya dalam era ledakan teknologi komunikasi masa kini.
“Komunikasi kini semakin rencam dengan peningkatan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI). Oleh itu, ahli Komuniti MADANI yang berperanan sebagai key opinion leader utama Jabatan Penerangan perlu bersedia mengadaptasi teknologi ini sebagai nilai tambah dalam menyampaikan maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Mini ASAS anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu di Pejabat Penerangan Daerah Kemaman, hari ini.
Program berkenaan dirasmikan oleh Penolong Pengarah Cawangan Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Kemasyarakatan, Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Saharudin Mohamed.
Menurut Mohd Othman, program yang menghimpunkan kira-kira 40 ahli Komuniti MADANI dari seluruh daerah Kemaman itu turut merangkumi slot penyampaian maklumat berkesan serta latihan penyuntingan video mudah alih (mobile video editing).
“Latihan seperti ini bukan sahaja meningkatkan tahap kefahaman terhadap tugas penyampaian maklumat, malah melengkapkan komuniti dengan kemahiran komunikasi digital yang amat relevan masa kini,” ujarnya.