KONTINJEN negara akan menggayakan baju kurung songket dengan kerudung untuk atlet wanita dan atlet lelaki berbaju Melayu Teluk Belanga sentuhan Rizman Ruzaini pada pembukaan Sukan Olimpik Musim Panas 2024 di Paris, esok.
Pengumuman persalinan rona hijau zaitun itu dikongsi oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan timbalannya, Adam Adli di Facebook, hari ini.
“Mempersembahkan ‘The Malaya’, pakaian rasmi kontinjen Malaysia pada majlis perasmian Sukan Olimpik Paris 2024 rekaan Rizman Ruzaini,” katanya pada keterangan gambar.
Busana yang mendapat sentuhan pereka fesyen terkenal itu bertemakan ‘Manis dan Sopan’ dengan atlet wanita akan menggayakan pakaian tradisional kerudung yang sinonim dengan wanita Malaya dan digandingkan bersama baju Melayu Teluk Belanga untuk atlet lelaki sebagai junjungan kasih Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang berasal dari Johor.
Koleksi ‘The Malaya’ yang berona hijau zaitun adalah tanda dedikasi dan aspirasi Rizman Ruzaini buat perwira negara seperti Datuk Maharaja Lela, Dol Said, Yamtuan Antah, Tok Janggut , Dato’ Bahaman, Mat Kilau dan Tunku Abdul Rahman.
“Kami memilih skim warna hijau zaitun dengan motif keemasan kerana warna ini memberi aura klasik dan di bawah pantulan cahaya, ia memancarkan kilauan keemasan.
“Kilauan keemasan itu simbolik harapan kepada atlet kita membawa pulang pingat emas untuk negara.
“Rekaan itu juga seperti melihat sebutir berlian yang digilap berkilau dan diikat dengan emas yang dijadikan cincin di jari. Sungguh cantik, sangat sempurna,” katanya.
Rizman Ruzaini dijemput Majlis Olimpik Malaysia pada Januari lalu untuk menyertai Malam Olimpik 2024 yang diadakan di ibu negara.
Sejak dari itu, mereka bekerja keras untuk menghasilkan pakaian tradisional dipanggil ‘The Malaya’ untuk tontonan komuniti sukan dunia sempena temasya Olimpik Paris.







