VIENTIANE – Malaysia mahu semua pihak menghormati undang-undang antarabangsa dan undang-undang laut antarabangsa supaya keberadaan kuasa luar dapat dikurangkan di Laut China Selatan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Malaysia mencadangkan dalam sesi pleno Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean ke-57 (AMM ke-57) supaya negara Asean tidak memohon bantuan pihak luar untuk menyelesaikan pertikaian wilayah di Laut China Selatan.
“Sebaiknya isu dalam negara Asean dan dalam rantau Asia Tenggara ini diselesaikan melalui perundingan dan melalui dialog antara negara.
“Pemusatan Asesn itu penting, jika ada antara kita atau negara Asean yang cuba membawa pengaruh luar untuk menyelesaikan masalah negara mereka, itu (akan) menyebabkan ketidaktentuan dalam rantau Asia Tenggara ini,” katanya, seperti dilapor Bernama.
Terdahulu, Mohamad mengetuai delegasi Malaysia menghadiri AMM ke-57 yang bermula hari ini, bagi Sesi Pleno dan Permukiman di Pusat Konvensyen Nasional (NCC) di Laos.
Mohamad berkata, semua bersetuju Asean perlu memperbanyakkan rundingan supaya kehadiran pihak luar dapat dikurangkan.
“Ini yang kita cuba elakkan dan kita minta kuasa besar… saya tidak mengatakan siapa, tetapi semua kuasa besar yang mula berjinak-jinak untuk campur tangan dalam suasana keakraban kekeluargaan Asean ini supaya mereka tidak meneruskan hasrat mereka.
“Biarlah masalah dalam kalangan negara Asean, khususnya isu Laut China Selatan diselesaikan melalui proses rundingan dan dialog antara negara Asean itu sendiri,” katanya.





