
BANGKOK – Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, meninggalkan negara itu lewat petang semalam, menurut dua sumber dan laporan media tempatan.
Tindakan itu dibuat Thaksin sehari sebelum undian Parlimen untuk memilih perdana menteri baharu serta menjelang keputusan mahkamah yang boleh menyebabkan dia dipenjara.
Pada Selasa depan, Mahkamah Agung dijangka membuat keputusan dalam kes yang boleh menyebabkan Thaksin menjalani hukuman penjara, yang sebelum ini dia dapat elakkan pada 2023 dengan menjalani tahanan di hospital atas alasan kesihatan.
Peguam Thaksin, Winyat Chatmontree, memberitahu Reuters bahawa dia ‘tidak tahu mengenai pemergian Thaksin’ tetapi menegaskan tiada perintah mahkamah menghalang Thaksin daripada berbuat demikian.
“Dia selalu berkata akan hadir ke mahkamah pada 9 September,” kata Winyat.
Sumber parti Pheu Thai memberitahu Thaksin pergi ke Singapura untuk pemeriksaan perubatan dan dijangka pulang ke Thailand ‘hari ini atau esok’.
Bagaimanapun, semakan pasukan media Thailand menerusi aplikasi flightradar24 mendapati pesawat peribadi membawa Thaksin tidak menghala ke Singapura.
Sebaliknya, ia dipercayai menuju ke India atau Dubai.