
MANCHESTER United semakin hampir mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara selepas gol Casemiro dan Benjamin Sesko membantu mereka menewaskan Brentford 2-1 awal pagi tadi.
Casemiro meletakkan United di depan pada awal permainan di Old Trafford sebelum Sesko menggandakan kelebihan sebelum rehat.
Gol lewat Mathias Jensen gagal menghalang United mengukuhkan cengkaman di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris.
United kini 11 mata di depan pasukan tangga keenam Brighton dengan lima pasukan teratas dijamin layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Skuad kendalian Michael Carrick hanya memerlukan dua mata daripada baki empat perlawanan untuk memastikan mereka kembali ke pentas elit Eropah buat kali pertama sejak musim 2023-24.
Ahad ini, United akan menerima kunjungan musuh ketat Liverpool yang berada tiga mata di belakang mereka di tangga keempat dalam aksi penting penentuan kedudukan ketiga liga.
Pengendali sementara, Carrick yang menggantikan Ruben Amorim pada Januari lalu, masih menunggu keputusan sama ada akan dilantik secara tetap di Old Trafford.
Bekas pemain tengah United itu berjaya menstabilkan pasukan selepas era bergelora di bawah Amorim.
Mengemudi United ke Liga Juara-Juara pastinya menguatkan lagi peluang Carrick untuk terus diberi kepercayaan oleh pemilik bersama kelab, Jim Ratcliffe.
Kemenangan 1-0 di Chelsea sebelum ini menyuntik semula semangat United dalam perebutan kelompok lima teratas selepas tewas di laman sendiri kepada Leeds dan seri di Bournemouth.
Brentford pula kali terakhir menang di Old Trafford pada 1937 dan sekali lagi pulang hampa selepas permulaan hambar.







