
SANDAKAN – Terry Pernell, seorang American Travel Content Creator, meluahkan rasa kagum terhadap keindahan dan keramahan penduduk di Sandakan, Sabah.
Menurut Terry, minatnya untuk meneroka Asia bermula selepas pengalaman melancong ke 13 negara di Afrika tahun lalu.
“Ia adalah progres natural untuk datang ke Asia Tenggara.
“Malaysia adalah yang pertama dalam senarai saya dan saya jatuh cinta.
“Jadi, saya terus kembali,” katanya ketika di temui media sempena Program Gerai Jualan Pasar Malam Sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Pintu Gerbang Sandakan, di sini, pada Sabtu.
Terry yang kini berada di Sandakan berkata, bandar ini mempunyai gabungan unik antara sejarah dan keindahan alam semula jadi.
“Antara tempat yang saya lawati termasuk Rumah Agnes Keith, masjid tertua Masjid Jamek Sandakan dan Gereja St. Michael.
“Saya berpeluang melihat hidupan liar seperti Bornean Sun Bear, monyet belanda, dan burung hornbill di Sepilok Jungle Resort (SJR).
Tambahnya, kunjungannya ke Rainforest Discovery Center (RDC) juga sangat menarik dan memberi pengalaman unik kepada pelancong.
Selain itu, Terry memuji kehangatan penduduk tempatan.

“Orang-orang Malaysia sangat baik dan mesra. Semua orang senyum dan sangat selamat di sini.
“Itu yang saya suka,” ujarnya.
Bagi penggemar makanan, Terry mengakui masakan tempatan, terutamanya makanan laut dengan sambal, sangat memuaskan.
“Malaysia mempunyai makanan yang hebat. Di sini, makanan lautnya luar biasa,” katanya.
Terry turut berkongsi nasihat kepada pelancong yang ingin mengunjungi Sandakan dan Malaysia secara amnya.
“Buka fikiran, hormati budaya tempatan dan datang untuk belajar serta menikmati.
“Anda akan menerima kasih sayang dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” jelasnya.






