PUTRAJAYA – Terminal Bersepadu Gombak (TBG) akan mula beroperasi secara berperingkat bermula 15 Mac ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, operasi TBG akan dimulakan dengan menurunkan penumpang dari Pantai Timur pada minggu pertama.
“Sekiranya semua berjalan lancar, penumpang boleh mula menaiki bas dari terminal itu pada minggu kedua.
“Harapan dan sasaran kita… menjelang Hari Raya Aidilfitri, mereka yang nak balik kampung boleh menggunakan terminal ini seterusnya mengurangkan kesesakan di Terminal Bersepadu Selatan,” katanya selepas melakukan lawatan ke TBG, hari ini.
Mengulas berhubung kemudahan dan ciri keselamatan untuk orang kurang upaya (OKU), Loke berkata, terdapat platform dikhaskan bagi memudahkan pergerakan golongan itu.
“Saya difahamkan, terdapat satu ciri penting di TBG di mana penumpang perlu menyatakan beliau adalah OKU.
“Ia kemudian akan dikesan dalam sistem dan dimaklumkan kepada pemandu untuk meletakkan bas di tempat mesra OKU,” katanya.
Sebelum ini, portal dan media sosial tempatan berkongsi hantaran dari media sosial TBG memaklumkan mengenai tarikh operasi bermula pada 16 Februari lalu.
Bagaimanapun, tinjauan sebelum ini mendapati ia masih belum dibuka kepada orang ramai meskipun portal tempatan dan beberapa laman media sosial memaklumkan kemudahan itu akan mula beroperasi pada tarikh terbabit.






