
TERGAMAK mereka mengadakan perhimpunan agung parti ketika rakyat dalam kesusahan, luah Mohd Rafiq Mohd.
Nada kecewa Exco Pemuda UMNO itu tidak dapat diselindungi lagi, sambil berkata, selama ini laungan pembangkang untuk membantu dan membela nasib rakyat rupanya adalah retorik semata-mata.
“Saya tak sangka Bersatu tergamak mengadakan perhimpunan parti mereka sedangkan rakyat sedang terjejas kerana bencana banjir.
“Nampak sangat mereka mementingkan politik, rupanya ayat nak bantu rakyat, rakyat diutamakan hanya retorik dan palsu sahaja.
“Apalah sangat dengan perhimpunan parti itu yang boleh ditangguh, banjir teruk melanda Kelantan, Terengganu, Kedah adalah negeri yang mereka kuasai, rakyat di negeri itu sedang hadapi kesusahan, tapi wakil rakyatnya sibuk berpolitik menghasut rakyat membenci kerajaan madani,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hari ini Bersatu mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) di Pusat Konvensional Ideal (IDCC) di Shah Alam.
Media melaporkan, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin membangkitkan peruntukan wakil rakyat pembangkang yang tidak diberi oleh kerajaan selain terus membangkitkan semangat ahli parti untuk terus menghasut rakyat membenci Kerajaan Madani.
Mohd Rafiq menegaskan, bencana alam bukanlah satu perkara yang boleh dipandang enteng apatah lagi jika menjejaskan kehidupan ratusan ribu rakyat.
“Sebab itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengarahkan semua jemaah menteri, wakil rakyat Kerajaan Perpaduan memberi fokus untuk membantu rakyat yang terjejas kerana banjir.
“Bencana alam bukan perkara yang main-main, ia melibatkan kerosakan harta benda dan boleh menyebabkan kehilangan nyawa, di mana hati dan kasih Bersatu terhadap rakyat, sampai hati mereka tidak mengendahkan kesusahan rakyat ketika banjir ini.
“Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertungkus-lumus memastikan jentera dan agensi kerajaan memastikan semua mangsa banjir diberi bantuan dan berada dalam keadaan selamat, tapi pembangkang langsung tidak ada hati perut, tiada peri kemanusiaan siang malam nak berpolitik,” katanya.
Justeru, Mohd Rafiq yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lumut berkata, rakyat perlu sedar dan bijak menilai yang mana satu kaca dan permata.
“Inilah hikmah yang Allah nak tunjuk. Sebagai wakil rakyat tak kiralah sama ada pembangkang atau kerajaan kena bertanggungjawab, berusaha menjaga keselamatan rakyat, turun padang ketika rakyat dilanda kesusahan.
“Ini tidak, tak habis-habis nak berpolitik, rancang tebuk atap sana sini, hasut rakyat membenci kerajaan, memang ‘cannot brain’.
“Sekarang rakyat dah tahu, siapa yang membela nasib mereka tatkala susah ditimpa musibah, siapa tempat mereka nak bergantung harap. Saya harap ia dapat membuka mata rakyat dalam menilai yang mana kaca dan yang mana permata,” katanya.







