PUTRAJAYA – Semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diminta membantu mangsa banjir di sembilan negeri, ketika ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan mengambil berat dan simpati terhadap mangsa bencana banjir seluruh negara yang kini sudah melebihi 100,000.
“Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meninjau keadaan di Kelantan dan hari ini di Terengganu.
“Minggu ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan ke Pantai Timur untuk meninjau sendiri keadaan banjir dan salurkan bantuan.
“Kerajaan memang salurkan dana bantuan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk bantu mangsa banjir yang terkesan. Insya-Allah, kita akan bantu jika ada isu berbangkit.
“Saya juga sudah minta pertolongan dari GLC di bawah Kementerian Kewangan supaya membantu mangsa banjir menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya selepas mewakili Perdana Menteri melancarkan Karnival My Pesara KWAP di Padang Akasia, Angsana Mall, Johor Bahru, hari ini.
Perdana Menteri sebelum ini dilaporkan mengarahkan penyaluran segera peruntukan hampir RM600 juta untuk Nadma sebagai persiapan mendepani musibah banjir, termasuk lebih RM300 juta yang telah disediakan untuk persiapan sekiranya berlaku bencana pada bila-bila masa.
Kerajaan juga dilaporkan sudah mengagihkan dana banjir sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah yang terjejas di seluruh negara bermula semalam.






