
TENGKU Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menitahkan pihak polis mengambil tindakan tegas ke atas tindakan Muhyiddin Yassin yang secara sengaja mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Tengku Hasanal bertitah, kenyataan Muhyiddin itu memetik sentimen 3R (kaum, agama, raja).
“Justeru, saya mahu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R,” titahnya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Abdulaziz Kuantan, Pahang.
Tengku Hassanal bertitah, kenyataan Muhyiddin seolah memanipulasi fakta negatif bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
“Kenyataan beliau ini juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Kenyataan ini juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat,” titah baginda.
Berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai Ketua Negara.
Manakala, Perkara 43(2) pula menetapkan bahawa Perdana Menteri haruslah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut.
Namun begitu, titah baginda, Al-Sultan Abdullah bukan sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk melantik Perdana Menteri walaupun Perlembagaan memberikan kuasa mutlak kepada baginda.
Titah baginda, Al-Sultan Abdullah ketika itu telah memanggil pakar Perlembagaan, penjawat awam utama negara serta mendapatkan pandangan daripada Majlis Raja-Raja sebelum pelantikan Perdana Menteri dibuat.
“Parlimen juga telah meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Disember 2022.
“Sehubungan itu, keputusan undi percaya tersebut adalah jelas dan selari dengan pertimbangan Sultan Abdullah semasa baginda memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” titah Tengku Hassanal.
Justeru, titahnya, Tengku Hassanal turut menasihatkan agar semua ahli politik berpegang teguh kepada Prinsip Rukun Negara dan tidak menjadi pemecah belah rakyat sekaligus menggugat keamanan masyarakat.
“Saya juga ingin menasihatkan kepada semua ahli politik sentiasa berpegang teguh pada prinsip Rukun Negara dan terus-menerus menyatupadukan rakyat agar Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dapat menjadi sebuah negara maju,” titahnya lagi.





