
TEBEDU – Kerjasama antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan tentera Indonesia (TNI) berjaya menggagalkan penyeludupan ke Indonesia.
Menurut kenyataan rasmi TDM, Sub Unit Formasi Divisyen Pertama Infantri melaksanakan operasi yang dilakukan di kawasan berdekatan sempadan Malaysia-Indonesia pada 5 Ogos lalu.
“Anggota TDM dan TNI melaksanakan rondaan di kawasan Pos Gabungan Malaysia Indonesia (GAMBA) Tebedu menjumpai enam bungkusan plastik berwarna hitam,” menurut kenyataan itu.
Difahamkan enam bungkusan plastik hitam itu mengandungi 12 kampit beras 10kg berjenama Super White Rice di bawah pokok laluan lorong haram.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada barang terlarang dan berbahaya dijumpai di sekitar kawasan terbabit.
“Laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Tebedu dan semua barang rampasan diserahkan kepada pihak Kastam Stesen untuk tindakan selanjutnya,” tambah kenyataan itu.
Jumlah hasil rampasan tersebut dianggarkan berjumlah RM342.
Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis turut mengucapkan syabas kepada semua anggota di bawah naungannya.
TDM terus komited memperketatkan kawalan di sempadan Malaysia-Indonesia untuk memastikan kedaulatan negara terus terpelihara daripada sebarangan ancaman.